MERSING: Seorang lelaki yang bertindak menumbuk seorang wanita di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Sri Mersing, di sini secara tiba-tiba semalam telah ditahan polis, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa yang berusia 48 tahun berhubung kejadian itu pada pukul 10 malam tadi.
Katanya, suspek seorang lelaki berusia 47 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, di sini awal pagi tadi.
“Tangkapan telah dibuat kira-kira pukul 12.15 malam untuk siasatan lanjut. Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham.
“Susulan kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan lebam di bahagian dahi dan patah di bahagian atas hidung,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Abdul Razak, suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Terdahulu tular satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki secara tiba-tiba menumbuk seorang wanita yang baharu keluar dari sebuah pasar raya. – UTUSAN










