TAPAH: Seorang lelaki maut manakala isteri dan empat anaknya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terjatuh dalam gaung di Batu 21, Jalan Tapah menghala ke Cameron Highlands di sini semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 8.43 malam melibatkan kenderaan utiliti sukan ( SUV) jenis Perodua Aruz.
Difahamkan, enam sekeluarga tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands bagi menziarahi kematian ahli keluarga.
Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, SUV terbabit terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter dan masuk ke dalam sungai.
“Anggota yang tiba di lokasi mendapati kenderaan tersebut berada dalam keadaan terbalik di dalam sungai yang cetek.
“Pemandu kenderaan dilaporkan tersepit di tempat duduk sebelum operasi menyelamat dijalankan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, mangsa berusia 44 tahun dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum mangsa dibawa naik ke atas.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sabarodzi berkata, lima mangsa lain mengalami kecederaan melibatkan seorang wanita berusia 48 tahun, dua remaja perempuan masing-masing berusia 19 dan 17 tahun serta dua kanak-kanak berusia sembilan dan enam tahun.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada 11.02 malam. – UTUSAN










