TELUK INTAN: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditahan pihak polis selepas berbogel di tengah jalan dan mengganggu lalu lintas dalam kejadian di Jalan Langkap-Chui Chak, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai perlakuan tidak senonoh lelaki itu pada pukul 9.35 malam.
Katanya, bertindak atas maklumat tersebut, pasukan polis telah ke lokasi kejadian dan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun.
“Suspek telah dibawa ke Balai Polis Langkap untuk tindakan lanjut sebelum dia dirujuk ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan dan penilaian pakar psikitri,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan video kejadian tersebut bagi menjaga maruah individu berkenaan.
Katanya, tindakan diambil polis adalah bagi memastikan keselamatan awam serta membantu individu berkenaan mendapatkan rawatan sewajarnya.
“Orang awam diminta sentiasa peka dan bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN










