PETALING JAYA: Seorang penyedia perkhidmatan akaun di sebuah syarikat perkhidmatan perundingan pengurusan perniagaan di ibu negara direman hari ini.
Reman terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dilakukan selepas dia disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan perjalanan berjumlah kira-kira RM4 juta.
Menurut sumber, dia ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 sehingga 2025.
“Suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan-tuntutan seperti perjalanan dan pengangkutan.
“Selain tuntutan tersebut membabitkan yuran perakaunan, pembelian genset dan diesel; pembayaran kad kredit; tuntutan keraian; perbelanjaan ke atas hartanah, loji dan peralatan (PPE), tuntutan tunai runcit, tuntutan belanja yang tidak dikenal pasti; tuntutan pembayaran kerja-kerja landskap serta pembayaran gaji,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










