Kumpulan pertama Jemaah Haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci

Kumpulan pertama Jemaah Haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci

ZULKIFLI Hasan ketika meninjau kumpulan pertama jemaah haji yang akan berangkat ke Tanah Suci bagi musim haji 1447H/2026M di KLIA Terminal 1. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kumpulan pertama yang terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Tanah Suci awal pagi tadi sekali gus menandakan bermulanya operasi haji 1447H/2026M secara rasmi hari ini.

Kumpulan pertama itu terdiri daripada 141 jemaah dari stesen berlepas Alor Setar, Kedah dan 143 dari stesen Sepang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 4.05 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050.

Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada pukul 7.50 pagi waktu Arab Saudi.

Majlis pelepasan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan selain turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

PARA jemaah haji mendaftar masuk sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi musim haji 1447H/2026M di KLIA, – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Zulkifli dalam ucapannya berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada TH dan semua pihak yang terlibat atas komitmen berterusan dalam memastikan pengurusan haji Malaysia kekal cemerlang.

Katanya, para jemaah dinasihatkan agar menghayati peranan sebagai dhuyufurrahman (tetamu Allah) dengan mengikhlaskan niat, menjaga adab serta memperbanyakkan amal ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.

“Jemaah juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memberikan kerjasama penuh kepada petugas haji demi kelancaran perjalanan ibadah,” katanya.

Katanya, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi, khususnya Kementerian Haji dan Umrah, atas kesinambungan pelaksanaan inisiatif Makkah Route yang kini memasuki tahun kelapan.

Bagi musim haji tahun ini, sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan melalui AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa seramai 31,600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dengan penerbangan terakhir dijadualkan pada 20 Mei 2026.

TH turut memaklumkan bahawa dua pasukan petugas haji awal telah dihantar ke Arab Saudi seawal 11 April bagi melaksanakan persediaan awal dalam menyambut ketibaan jemaah.

Selain Alor Setar dan Sepang, enam lagi stesen berlepas turut disediakan bagi urusan melapor diri jemaah haji di seluruh negara iaitu di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Bayan Lepas, Senai, Kuching dan Kota Kinabalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN