Krisis tenaga: KKDW strukturkan semula program kementerian tahun ini

Krisis tenaga: KKDW strukturkan semula program kementerian tahun ini

AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menstrukturkan semula pelaksanaan dan perancangan semua program kementerian pada tahun ini susulan krisis tenaga ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tumpuan utama pastinya bagi meringankan beban dihadapi masyarakat di luar bandar.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya akan memastikan rakyat di luar bandar tidak terbeban dari segi kenaikan kos bahan api dan tenaga.

“Kita mengambil beberapa langkah proaktif untuk mempelbagai penjanaan pendapatan dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana, terutama usahawan mikro.

“Dan kita dijangka dapat membuat penjimatan terhadap beberapa program yang dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Ditanya sama ada langkah penjimatan itu membabitkan penangguhan program yang telah dirancang, Ahmad Zahid berkata, tumpuan utama ketika ini adalah kepada projek-projek yang kritikal.

Katanya, beliau mengakui krisis tenaga ini turut memberi implikasi langsung dan tidak langsung terhadap kesejahteraan 8.1 juta masyarakat desa terutama pekebun kecil getah yang menyumbang kira-kira 84.7 peratus daripada pengeluaran getah asli negara bakal terkesan dengan peningkatan kos input dan ketidaktentuan harga komoditi.

“Jika gangguan berlarutan hingga Mei atau Jun, tekanan akan beralih daripada sekadar kos yang lebih tinggi kepada tekanan aliran tunai sebenar dalam komuniti luar bandar serta kemungkinan keperluan penambahan program bantuan oleh agensi kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN