KUALA LUMPUR: Peluang kepada kontraktor tempatan, khususnya golongan kecil dan sederhana, terus diperluas bagi memastikan mereka kekal berdaya tahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, fokus pada masa ini adalah untuk memastikan kontraktor kecil dan sederhana terus mendapat akses kepada projek penyelenggaraan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan aliran kerja kontraktor tidak terhenti sekali gus mengelakkan mereka daripada terjejas akibat peningkatan kos operasi.
“Saya mahu Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperluas peluang kepada kontraktor tempatan khususnya kontraktor kecil dan sederhana dalam kerja penyelenggaraan, baik pulih dan projek berskala sesuai,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan KKR di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid KKR, hari ini.
Tambah Alexander, sektor pembinaan negara juga perlu mengurangkan kebergantungan terhadap kenaikan harga bahan api dengan beralih kepada kaedah kerja yang lebih produktif serta berasaskan teknologi moden.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan industri pembinaan kekal berdaya saing dan tidak terlalu terkesan oleh faktor luaran termasuk konflik di Asia Barat.
“Saya ingin menyatakan kepentingan penggunaan teknologi seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), ‘Building Information Modelling’ (BIM) dan kaedah pembinaan komponen siap pasang di kilang, serta pemantauan digital yang perlu dipertingkatkan dalam sektor pembinaan.
“Pendekatan tersebut mampu mempercepatkan tempoh pembinaan, mengurangkan pembaziran bahan dan mengoptimumkan penggunaan sumber di tapak projek.
“Transformasi itu menunjukkan komitmen kerajaan bukan sahaja pada peringkat dasar, malah turut melibatkan penambahbaikan pengurusan bagi memastikan daya tahan ekonomi negara terus kukuh menghadapi cabaran global,” katanya. – UTUSAN









