KKR jamin projek rakyat kekal diteruskan

KKR jamin projek rakyat kekal diteruskan

ALEXANDER Nanta Linggi berucap semasa majlis perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek berorientasikan rakyat (projek rakyat) akan kekal diteruskan meskipun berdepan tekanan kenaikan kos serta ketidaktentuan ekonomi global semasa.

Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander berkata, buat masa ini kementerian masih mampu bertahan dengan menyesuaikan pendekatan agar pelaksanaan projek kekal lancar.

Katanya, sehingga kini terdapat 855 projek yang kekal dijalankan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Selain itu, pelaksanaan projek kecil melibatkan kontraktor G1 hingga G4 khususnya dalam kerja penyelenggaraan jalan dan pembaikan akan disesuaikan mengikut keperluan semasa.

“Langkah seperti pengurangan skop projek turut dilaksanakan bagi memastikan kos terkawal. Sebagai contoh, jika kos tender projek RM1 juta bagi satu kilometer, kita boleh pendekkan skop kepada jarak lebih sesuai kerana apa yang penting, projek tidak terhenti dan tetap diteruskan,” katanya pada sidang akhbar Perhimpunan Bulanan KKR bagi bulan April 2026 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid KKR hari ini.

Alexander berkata, satu pelan tindakan segera akan diselaras bersama JKR, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta agensi berkaitan bagi memantau kesan kenaikan harga minyak terhadap kos pembinaan utama.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pemantauan berkala dilakukan terhadap perubahan kos bahan seperti bahan api, bitumen, keluli, simen serta logistik.

“Data diperoleh menerusi pemantauan tersebut akan digunakan secara proaktif untuk mempercepatkan proses membuat keputusan dan bukan sekadar bertujuan pemantauan semata-mata.

“Manakala penggunaan teknologi moden seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Building Information Modelling (BIM) akan dipergiatkan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber pembinaan.

“Pihak kementerian turut terlibat secara aktif dalam perbincangan di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang bermesyuarat setiap minggu bagi menentukan hala tuju dasar serta pelarasan yang diperlukan merentas kementerian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN