Kisah inspirasi pelajar luar bandar cemerlang SPM

Kisah inspirasi pelajar luar bandar cemerlang SPM

NUR Diana Zahirah Yusni,18, (kiri) menunjukkan keputusan cemerlang semua 9A SPM kepada bapanya di jeti nelayan, Kampung Sanglang, Arau, Perlis baru-baru ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH kejayaan Nur Diana Zahirah Yusni,18, anak seorang nelayan di Kampung Sanglang, Perlis mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat perhatian ramai pihak dan menjadi inspirasi kepada pelajar pelajar lain khususnya daripada kawasan luar bandar.

Kecemerlangan Nur Diana mendapat keputusan semua A itu membuktikan bahawa kepayahan hidup bukan halangan bagi mencapai kejayaan.

Lebih membanggakan, anak ketiga daripada empat beradik itu juga menjadi pelajar pertama dalam sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang yang terletak di pinggir bandar itu mendapat keputusan semua A.

Sanglang merupakan perkampungan atau kawasan kecil yang kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan dan petani.

Keputusan SPM 2025 di Perlis juga menunjukkan jurang pencapaian calon bandar dan di luar bandar semakin mengecil. Berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN), jurang pencapaian calon bandar dan di luar bandar semakin mengecil sebanyak 0.80 mata.

GPN calon di bandar ialah 4.47 mata pada SPM 2025 berbanding 4.29 mata pada SPM 2024. GPN calon luar bandar pula ialah 5.27 mata pada SPM 2025 berbanding 5.43 mata, SPM 2024.

Pengecilan jurang tersebut disokong oleh intervensi intervensi prasarana, guru opsyen, kecukupan guru dan guru-guru cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar. SPM 2025 di Perlis juga menyaksikan seramai 54 meliputi 1.67 peratus calon menduduki peperiksaan tersebut meraih semua A.

Secara keseluruhan, prestasi mata pelajaran SPM 2025 di negeri ini juga menunjukkan peningkatan bagi 21 daripada 47 mata pelajaran.

Nur Diana Zahirah berkata, meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan namun ia tidak mengganggu tumpuannya untuk berjaya selain kepayahan keluarga menjadi pemangkin semangat untuk belajar bersungguh sungguh.

Katanya, selain bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu, bapa turut melakukan kerja kerja di bendang bagi mencari rezeki bagi menyediakan keperluan kepada anak-anak khususnya dalam pendidikan.

 

 

“Saya belajar bersungguh sungguh untuk berjaya pada masa hadapan, seterusnya membantu mengubah nasib keluarga.

Saya melihat sendiri bagaimana kepayahan ayah keluar awal pagi dan pulang keesokan hari bagi mencari rezeki dengan turun ke laut untuk menangkap ikan.

“Apa jua keperluan belajar, ayah akan sentiasa memenuhinya meski pun saya sedar ia kadang-kala memerlukan kos yang tinggi. Saya bercita-cita menjadi seorang guru bahasa Inggeris dan berhasrat untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Saya tidak sangka memperoleh keputusan semua 9A memandangkan peperiksaan percubaan, saya hanya mendapat 5A. Saya yang berkongsi bilik dengan dua adik beradik lain selalu mengulang kaji pelajaran waktu malam selain mengamalkan solat tahajud,” katanya.

Seorang lagi calon dari kawasan luar bandar, Ho Xin Rou dari SMK Syed Saffi, Simpang Empat juga memperoleh keputusan cemerlang 10A sekali gus membanggakan sekolah yang terletak di pinggir bandar tersebut. Xin Rou dibesarkan oleh ibu saudaranya, Ng Soon Ling,41, sejak berusia lapan tahun dan kejayaan tersebut adalah untuk insan kesayangannya itu selain buat ibu yang terpaksa tinggal berjauhan di Singapura untuk bekerja.

Kata remaja berkenaan, dia berhasrat menyambung pengajian di Tingkatan Enam sebelum meneruskan impian ke menara gading dalam bidang pendidikan, sekali gus merealisasikan cita-cita bergelar pendidik.

“Saya sama sekali tidak sangka akan dapat keputusan 10A dalam SPM memandangkan sasaran awal adalah sekadar memperoleh 6A. Saya sudah lama bercita cita menjadi seorang guru dan berharap impian itu menjadi kenyataan,” katanya yang tinggal di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datin Marzita Mansor berkata, keputusan SPM 2025 benar-benar menyentuh hati dan membanggakan terutama apabila melihat ramai dalam kalangan pelajar luar bandar turut mengecapi kejayaan cemerlang.

“Di sebalik angka 54 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran dan 94.36 peratus layak mendapat sijil serta peningkatan prestasi dalam pelbagai sekolah dan subjek, banyak tersimpan kisah pengorbanan, air mata, doa dan kesungguhan yang tidak ternilai.

“Saya melihat kejayaan ini bukan sekadar pencapaian akademik tetapi tanda keberkatan hasil usaha yang disertai dengan doa, tawakkal dan didikan berteraskan nilai nilai murni,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN