GEORGE TOWN: Kerja-kerja fizikal bagi Projek Penyuraian Trafik Plaza Tol Juru-Sungai Dua (PTJSD) kini memasuki fasa pelaksanaan, dengan Pakej 1 telah bermula sejak Oktober tahun lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek tersebut merupakan inisiatif strategik yang amat dinantikan bagi mengurangkan kesesakan serius di jajaran utama Lebuhraya Utara–Selatan di negeri ini.
Menurutnya, Pakej 1 dijangka siap lebih awal dan mula beroperasi menjelang penghujung tahun 2027, selaras dengan tempoh pembinaan selama 24 bulan.
“Pelaksanaan projek ini akan diteruskan secara berfasa melibatkan Pakej 2 hingga Pakej 5 bagi melengkapkan keseluruhan jajaran dari Plaza Tol Juru ke Sungai Dua.
“Kesemua pakej ini dijangka memulakan kerja fizikal pada suku ketiga tahun ini, tertakluk kepada perincian skop teknikal yang sedang dimuktamadkan,” katanya di sini, hari ini.
Projek Penyuraian Trafik PTJSD adalah inisiatif untuk mengatasi kesesakan kronik sepanjang 17.3 kilometer (km) antara Plaza Tol Juru dan Sungai Dua.
Kon Yeow berkata, keseluruhan projek disasarkan siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2030 dan kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan rundingan berterusan bersama agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek tersebut.
“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan projek ini secara rapi dan komited memastikan setiap fasa pelaksanaan berjalan lancar mengikut perancangan.
“Projek ini diyakini mampu memberi impak signifikan dalam mengurangkan kesesakan trafik, meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata, laluan berkenaan kini merekodkan purata aliran trafik melebihi 200,000 kenderaan sehari dan berfungsi sebagai koridor utama menghubungkan aliran trafik dari utara dan selatan Semenanjung Malaysia.
“Kesesakan di jajaran ini turut memberi kesan langsung kepada kawasan sekitar seperti Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Perai, sekali gus menjejaskan kelancaran pergerakan harian serta aktiviti ekonomi setempat.
“Sejak April 2024, pelbagai kajian termasuk analisis trafik telah dilaksanakan bagi memastikan penyelesaian yang dirangka adalah komprehensif dan mampan,” katanya. – UTUSAN











