PETALING JAYA: Kerajaan sedang mempergiatkan usaha diplomatik bagi membawa pulang baki kru Kapal Berkat Tuah yang masih terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha berterusan itu dilaksanakan melalui kerjasama Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di UAE serta agensi berkaitan.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara tanpa mengira di mana mereka berada.
“Usaha kini dipergiat bagi memastikan baki anak kapal yang masih terkandas dapat segera dibawa pulang.
“Kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia, walau di mana jua mereka berada, kekal menjadi amanah dan keutamaan Kerajaan Madani,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan Muhammad Kamal Idhamuddin Kamal Arifin, antara rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di pelabuhan berkenaan bersama rakan-rakan kru Kapal Berkat Tuah sejak tujuh bulan lalu.
Sebelum ini sekumpulan rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai sejak 28 Februari lepas selamat tiba ke tanah air pada 5 Mac dengan penerbangan Emirates EK342.
Difahamkan, mereka merupakan kumpulan pertama yang berjaya kembali ke tanah air selepas enam hari terkandas susulan penutupan ruang udara akibat konflik di Asia Barat. – UTUSAN









