PETALING JAYA: Kerajaan sedang menilai potensi tenaga nuklear secara menyeluruh sebagai antara langkah memperkukuh keselamatan tenaga negara dan menghadapi krisis yang sedang dihadapi global.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, tenaga nuklear semakin mendapat perhatian sebagai salah satu pilihan dalam campuran tenaga negara.
Kata beliau, terdapat keperluan untuk beralih kepada sumber rendah karbon dalam menghadapi permintaan tenaga yang semakin meningkat.
“Malaysia sedang menilai potensi teknologi ini secara menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan sudah mengambil langkah berjaga-jaga dalam pelarasan pelaksanaan dasar negara, terutama untuk menangani kesan krisis tenaga global
Selain itu, Lih Kang berkata, pertahanan serta keselamatan negara telah dipertingkat demi memastikan kesejahteraan kerajaan dan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, tenaga nuklear tidak akan menjadi pengganti kepada sumber sedia ada seperti solar, hidro atau gas.
Sebaliknya, kata beliau, teknologi itu akan menjadi pelengkap bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil, mampan dan berdaya tahan dalam jangka panjang.
“Segala pertimbangan dibuat secara berhati-hati dan berasaskan bukti, melibatkan aspek keselamatan, kos, perundangan, pembangunan bakat serta penerimaan rakyat.
“Keutamaan kekal pada satu perkara, memastikan setiap langkah yang diambil adalah selamat, telus dan memberi manfaat kepada negara,” katanya. – UTUSAN










