SHAH ALAM: Kerajaan negeri sedang memberi tumpuan kepada pembinaan kepakaran sumber manusia sebagai langkah awal bagi memulakan pembinaan loji janakuasa tenaga nuklear, lima tahun lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan tenaga pakar itu melibatkan pegawai serta jurutera yang kini dihantar ke Tsinghua University di China dan negara-negara lain sebelum kajian kebolehlaksanaan dilakukan di negeri ini.
Beliau berkata, bagaimanapun buah fikiran penerokaan sumber tenaga boleh diperbaharui itu masih di peringkat awal dan tumpuan masih diberikan kepada penelitian atau pemahaman terhadap model-model sedia ada.
Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri belum berada di tahap mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk dibina loji penjanaan tenaga nuklear.
“(Namun) Bila saya melawat ke beberapa buah negara, mereka (pakar) pada bila-bila masa sahaja bersedia untuk datang. Tetapi, bagi saya biar kita bersedia terutama dari segi kekuatan dan keupayaan sendiri.
“Itu yang sedang ditumpukan daripada awal sebelum kita membawa teknologi itu dengan tergesa-gesa dan mungkin akan menimbulkan keresahan kepada masyarakat tanpa ada persediaan yang rapi,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Selangor bakal memiliki loji tenaga nuklear sebagai sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui dalam tempoh lima tahun lagi.
Pembinaan loji tenaga nuklear amat diperlukan kerana negeri itu tidak mampu lagi bergantung gantung sepenuhnya kepada sumber bahan bakar sedia ada yang tidak lestari berbanding tenaga nuklear.
Malah, Ahli Parlimen Gombak itu menyatakan Selangor sebagai sebuah negeri industri tidak lagi boleh bergantung kepada sumber tenaga berasaskan fosil atau brown energy yang semakin berkurangan.
“Di masa depan kita kena bersedia dari segi sumber tenaga. Kalau kita mengharapkan kepada sumber tenaga fosil seperti gas ataupun arang batu, jumlah depositnya juga semakin berkurang.
“Malah, kalau dari masa ke masa kita terus bergantung sepenuhnya dengan import (pula), kosnya lebih mahal. Sekarang, bagaimana pula di masa depan kalau kita sudah kehabisan atau kekeringan sumber?
“Sebab itu saya meletakkan sasaran lima tahun pembinaan kapasiti, plan of acton, blueprint yang kita akan bangunkan secara komprehensif menerusi libat urus dengan masyarakat secara keseluruhan,” jelasnya. – UTUSAN










