PETALING JAYA: Kerajaan sedang merangka langkah jangka panjang bagi memastikan usahawan Bumiputera kekal berdaya tahan susulan tekanan ekonomi global yang semakin mencabar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, strategi itu memberi fokus kepada pendigitalan, perluasan akses pembiayaan serta pembukaan pasaran baharu bagi memperkukuh ekonomi Bumiputera.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi membantu usahawan menghadapi peningkatan kos operasi, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi yang terus menjejaskan operasi perniagaan.
“Kita perlu mempercepatkan pendigitalan, memperkasa keusahawanan generasi muda serta memperluas akses kepada pembiayaan dan pasaran baharu supaya ekonomi Bumiputera lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, dalam masa sama kerajaan turut melaksanakan tiga langkah segera bagi membantu kumpulan usahawan yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa.
Katanya, langkah pertama membabitkan penilaian segera dan menyeluruh oleh semua agensi mandat Bumiputera bagi mengenal pasti tahap sebenar impak terhadap sektor kritikal.
“Semua agensi perlu menilai impak merentasi sektor makanan dan agro, pembinaan serta logistik kerana sektor ini paling terkesan dan melibatkan ramai usahawan Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata, langkah kedua pula melibatkan pelaksanaan intervensi bersasar termasuk penyediaan pembiayaan yang lebih fleksibel serta insentif kos bagi mengurangkan beban operasi usahawan.
“Kerajaan akan memperkukuh sokongan melalui pembiayaan fleksibel, insentif kos serta pengukuhan rantaian bekalan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, langkah ketiga memberi penekanan kepada pelaksanaan yang tegas dan berakauntabiliti supaya setiap inisiatif yang diumumkan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.
“Tiada ruang untuk kelewatan. Semua langkah mesti dilaksanakan serta-merta dengan pemantauan rapi dan pelaporan berkala.
“Setiap agensi bertanggungjawab memastikan intervensi ini sampai ke peringkat pelaksanaan dan memberi kesan,” katanya.
Menurutnya, tekanan semasa berpunca daripada konflik geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan harga komoditi, rantaian bekalan serta kos logistik dunia.
“Keadaan itu memberi tekanan langsung kepada ekonomi global termasuk Malaysia apabila kenaikan kos dan inflasi terus menekan, sekali gus menjejaskan operasi perniagaan usahawan Bumiputera,” katanya.
Tambahnya, penyelarasan antara kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan (GLC) akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap inisiatif tidak bertindan serta benar-benar memberi impak kepada kumpulan sasar. – UTUSAN










