ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri memberikan sumbangan lebih RM1 juta kepada Rumah Perlindungan Kanak-kanak TBQ Amal yang membela golongan kurang bernasib baik khususnya golongan bawah umur.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sehubungan itu turut menyeru golongan hartawan dan dermawan di negeri ini untuk bersama menderma kepada rumah perlindungan tersebut.
Katanya, ini bagi membantu rumah perlindungan itu menjayakan hasrat untuk membina pembinaan kediaman baharu di Kampung Tiram Duku, di sini.
“Kerajaan negeri telah membantu TBQ Amal sejak 2022, secara keseluruhan hampir RM500,000 dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut membantu dengan RM12,500 sebulan sejak 2024. Pada malam ini, sukacita diumumkan kerajaan negeri sumbang RM200,000 untuk tahun ini.
“Saya bagi pihak TBQ Amal merayu pada semua budiman, hartawan dan yang mampu menyumbang, sumbangkan pada TBQ Amal agar menjadi asbab kita berkumpul di Jannatul Firdaus, Insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal TBQ Amal di Hotel Sunway Big Box, di sini malam tadi.
Onn Hafiz berkata, TBQ Amal ini bukan sahaja melindungi kanak-kanak kurang bernasib dengan menyediakan tempat tinggal yang selamat dan selesa, malah memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna. – UTUSAN










