TELUK INTAN: Subsidi Rumah Mesra Rakyat (RMR) oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebanyak RM20,000 tetap kekal walaupun kerajaan berdepan kenaikan kos bahan pembinaan termasuk diesel kerana konflik Asia Barat.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, kerajaan akan menyerap kos kenaikan pembinaan tersebut termasuk diesel sebagai langkah menyantuni rakyat untuk memiliki kediaman yang selesa.
“Kadar subsidi masih kekal. Peruntukan sebanyak RM500 juta tahun ini. Untuk tahun ini, kita telah pun meluluskan 16 RMR di Teluk Intan.
“Rakyat hanya bayar RM55,000 tetapi kerajaan menyerap kos RM20,000. Jika tidak mampu bayar pendahuluan, boleh ambil pinjaman dengan bayaran ansuran RM300 sebulan selama 16 tahun tanpa faedah,” katanya.
Beliau berkata sedemikian pada Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri Parlimen Teluk Intan di Dewan MPTI di sini hari ini.
Beliau turut mengumumkan lapan projek menerusi Jelajah Sentuhan Kasih KPKT Tahun 2026 dengan peruntukan RM47.44 juta bagi projek pembangunan sekolah, kebajikan masjid dan infrastruktur di Teluk Intan.
Katanya, sebanyak 6,545 buah RMR baharu tetap dibina di seluruh negara dengan tempoh siap lebih cepat sebagai langkah menyerap kos.
Berhubung kekhuatiran rakyat, projek perumahan tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan ekoran konflik Asia Barat, Kor Ming berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan.
Menurutnya, ini termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) serta Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia supaya projek dapat dilaksanakan mengikut jadual.
“Sebab itu, satu mesyuarat akan dipanggil pada masa yang terdekat. Saya telah arahkan kepada Jabatan Perumahan Negara untuk longgarkan sedikit syarat, mempermudahkan lagi projek-projek perumahan khususnya mampu milik.
“Kita nak pastikan supaya wawasan (KPKT) menjelang 2030 tidak ada lagi projek perumahan terbengkalai di negara ini,” katanya. – UTUSAN










