KAMPAR: Kemalangan membabitkan lima kereta dan sebuah motosikal di Kilometer 4, Jalan Kuala Dipang – Malim Nawar di sini semalam bukan disebabkan pemandu mabuk seperti yang tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Viva, Proton Satria, Yamaha Y15ZR, Proton Saga, Perodua Axia dan Perodua Bezza.
“Berdasarkan maklumat awal, kereta Perodua Viva yang dipandu seorang wanita bersama dua kanak-kanak keluar dari bahu jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah menuju ke pekan Malim Nawar dilanggar kereta Proton Satria dari arah bertentangan sehingga terbalik.
“Kereta Proton Satria kemudian melanggar penunggang motosikal wanita hingga tercampak ke tengah jalan sebelum jatuh bersebelahan kereta jenis Perodua Bezza,” katanya di sini.
Kesemua lapan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan lanjut di hospital berdekatan.
Katanya, pemandu Proton Satria iaitu seorang lelaki berumur 59 tahun tidak menunjukkan tanda-tanda mabuk seperti yang tular dalam media sosial.
“Ini dilihat daripada perlakuan dan nafas pemandu tersebut yang tiada bau alkohol namun segala prosuder siasatan seperti ujian urin dan pemeriksaan kandungan alkohol dalam darah tetap dilakukan terhadapnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu tidak cermat dan bertimbang rasa.
“Polis menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau kesimpulan awal sebelum menyebarkan sesuatu perkara yang masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN










