KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa dekat sini muncul sebagai lapangan terbang domestik paling moden dan tercantik di negara ini selepas projek menaik taraf bernilai RM440 juta itu siap sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia menjadi lapangan terbang paling terbaharu yang siap dinaik taraf sementara lapangan terbang lain masih menjalani proses sama ketika ini.
“Tansformasi menyeluruh LTSIP bukan sekadar meningkatkan kapasiti malah memberi wajah baharu yang lebih moden, selesa dan setanding lapangan terbang terbaik negara.
“Kita harapkan lapangan terbang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri Kelantan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Terminal Baharu LTSIP Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Siew Fook berkata, lonjakan drastik jumlah penumpang menjadi faktor utama penaiktarafan itu apabila data Malaysia Airports Holdings Berhad menunjukkan LTSIP mengendalikan 1.72 juta penumpang pada 2025.
Katanya, ia meningkat 14.1 peratus berbanding tahun sebelumnya sekali gus melepasi kapasiti asal terminal.
“Ketika ini, empat syarikat penerbangan utama iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly dan Batik Air Malaysia mengendalikan kira-kira 125 penerbangan seminggu ke enam destinasi utama, menjadikan laluan Kota Bharu–Kuala Lumpur antara paling sibuk di Malaysia.
“Melalui projek ini, keluasan terminal meningkat tiga kali ganda daripada 12,000 kepada 36,000 meter persegi manakala kapasiti pengendalian melonjak sehingga empat juta penumpang setahun,” ujarnya.
Menurut beliau, keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan Kelantan turut diterjemah melalui kelulusan pemanjangan landasan kepada 2,800 meter.
Katanya, pemanjangan lapangan itu daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter bertujuan bagi menyokong operasi pesawat narrow-body (berbadan sempit) seperti Boeing 737 MAX, Airbus A321 neo dan A321XLR.
“Ini secara tidak langsung membuka potensi kepada pengendalian penerbangan antarabangsa jarak dekat dan sederhana sekali gus menghubungkan Kota Bharu dengan lebih banyak destinasi serantau,” ujarnya. – UTUSAN











