KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersedia mengeluarkan belanja bagi memastikan kemarau yang melanda tidak menjejaskan bekalan air kepada pengguna di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pelbagai usaha diambil dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) termasuk mengenal pasti punca sebenar.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan bekalan sampai sepenuhnya kepada pengguna.
“Kita tidak berkira dari segi peruntukan. Berapa banyak pun kos diperlukan, kita akan baiki kerosakan demi memastikan air sampai kepada rakyat.
“Untuk tahun ini, kita beri fokus kepada NRW. Kita akan kesan ke mana air ini hilang dan lakukan pembaikan segera terutama melibatkan paip bocor,” katanya kepada pemberita semasa mengiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Chabang Tiga, Kedai Buloh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Izani memberitahu, kemarau kali ini menyaksikan sumber air kepada penduduk seperti sungai dan telaga jejari milik Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) turut terjejas.
Katanya, susulan itu rakyat negeri ini perlu menggunakan air dengan bijak dalam suasana hari ini.
Dr. Izani berkata, kerajaan negeri melalui AKSB) terus memperkukuh langkah berjaga-jaga bagi memastikan krisis bekalan air akibat kemarau dapat ditangani sebaik mungkin termasuk penghantaran bekalan alternatif ke kawasan terjejas.
“Kawasan yang tidak ada air, kita gerakkan tangki statik secukupnya. Kita juga akan pastikan lori-lori air AKSB dihantar terutama ke kawasan yang benar-benar terdesak,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, Kuala Krai antara kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ gangguan bekalan air.-UTUSAN










