KUALA LUMPUR: Himpunan Tangkap Azam Baki bertukar kecoh dengan kejadian tolak-menolak berlaku ketika pihak polis hendak menunda dua unit kenderaan Sekretariat Tangkap Azam Baki, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini hari ini.
Susulan dari itu, sebahagian daripada 300 peserta yang menyertai himpunan menghalang cubaan pihak polis sebelum Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli cuba menenangkan keadaan.
Rafizi dilihat menghampiri pegawai polis yang bertugas untuk bertemu dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi bagi meminta kebenaran untuk penambahan masa bagi sesi ucapan himpunan serta memohon agar dua unit kenderaan sekretariat tidak ditunda.
Pada masa sama, peserta yang menyangka Rafizi hendak ditahan mula bertindak agresif dengan menolak dan menghalang pegawai polis dari menghampiri bekas Timbalan Presiden PKR itu.
Ketika Rafizi dibawa menyeberang jalan raya menuju ke arah Dataran Merdeka, suasana kekecohan semakin serius hingga berlaku tolak menolak antara peserta dan polis.
Tidak lama selepas itu, Rafizi kemudian tampil memohon agar semua peserta bertenang dan kembali ke Jalan TAR manakala beliau dilihat mengadakan rundingan dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
Sekitar pukul 5.10 petang tadi, Rafizi kemudian kembali menuju ke arah peserta perhimpunan dan menjelaskan mengenai situasi sebenar selain meminta semua pihak untuk bersabar dan bertenang.
Dalam ucapannya awalnya, Rafizi memaklumkan bahawa pihak Sekretariat diberikan masa selama 20 minit sehingga pukul 5.40 petang untuk menghabiskan ucapan dan beredar dengan aman.
Beliau turut memaklumkan, bahawa pihak polis khuatir sekiranya himpunan itu berterusan maka, kejadian letupan mercun di hadapan pusat beli-belah Sogo, ketika awal acara perhimpunan ini berulang.
Katanya, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terhadap individu yang berkemungkinan cuba mensabotaj acara Himpunan Tangkap Azam Bako dengan tindakan membakar mercun. – UTUSAN










