PETALING JAYA: Malaysia tidak membayar sebarang tol bagi laluan kapal Petronas melalui Selat Hormuz.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dibentangkan Petronas dan diteliti dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Kita mengambil maklum kita ada beberapa kapal (Petronas) yang masih dalam perjalanan dan pada ketika ini menunggu giliran untuk melepasi Selat Hormuz, kita tidak membayar apa-apa tol seperti yang didakwa.
“Mungkin (berpunca) tajuk berita yang disalah erti oleh warganet, tapi kita tidak membayar apa-apa tol dan pada waktu ini keadaan masih terkawal,” katanya hari ini.
Mengulas penyebaran grafik palsu berkaitan harga minyak, Fahmi berkata, pengumuman rasmi harga mingguan RON95, RON97 dan diesel hanya dibuat oleh Kementerian Kewangan pada setiap Rabu.
“Biasanya (maklumat hanya) akan diterbitkan selepas pukul 6 petang setiap Rabu.
“Selain daripada pengumuman rasmi Kementerian Kewangan, sebarang grafik atau maklumat lain yang disebarkan adalah tidak benar atau palsu,” katanya. – UTUSAN










