TANJUNG MALIM: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam bilik stor peralatan pembersihan yang berkunci di fasiliti sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, lelaki tersebut berusia 53 tahun dan merupakan kakitangan UPSI.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.57 pagi daripada polis bagi mendapatkan bantuan untuk membuka pintu stor yang berkunci.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim digerakkan ke lokasi kira-kira 9 kilometer dan tiba pada pukul 2.07 pagi.
“Setibanya di lokasi, pintu stor telah pun dibuka oleh polis bantuan UPSI. Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemantauan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis. Operasi dikawal pada pukul 2.17 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 2.36 pagi,” katanya. – UTUSAN










