PETALING JAYA: Kesatuan Jururawat Malaya menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyemak semula kadar elaun latihan lanjutan (pos basik) jururawat yang masih kekal RM100 sejak 17 tahun lalu.
Presidennya, Saaidah Athman berkata, penyelarasan semula kadar elaun tersebut perlu dilaksanakan segera selaras dengan peningkatan beban tugas dalam sektor kejururawatan ketika ini.
Katanya, kadar elaun pos basik yang diterima jururawat KKM yang memiliki kelayakan pos basik ketika ini dilihat tidak lagi setimpal dengan keadaan semasa.
“Pihak kesatuan mencadangkan supaya kadar elaun pos basik yang sudah 17 tahun tidak dikaji ini dinaikkan.
“Untuk makluman, kadar elaun pos basik yang diterima oleh jururawat KKM yang memiliki pos basik hanyalah RM100 sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KKM sebelum ini mempertimbang untuk menaikkan upah atau elaun jururawat dalam usaha mengatasi masalah ‘perang gaji’ bagi mengelak mereka berhijrah ke luar negara.
Saaidah berkata, KKM juga perlu memperkenalkan elaun tambahan yang mampu menarik minat generasi muda menceburi bidang kejururawatan termasuk elaun syif serta menaikkan kadar gaji jururawat di Malaysia.
Ini kerana katanya, isu kekurangan jururawat kini semakin kritikal berikutan beban tugas yang tidak seiring dengan kadar upah diterima sekali gus mendorong jururawat tempatan berhijrah ke luar negara yang menawarkan pakej gaji dan kemudahan lebih menarik.
“Sebagai contoh, terdapat negara Arab menawarkan gaji sekitar RM17,000 selain kemudahan fasiliti, pengangkutan ke tempat kerja serta elaun pos basik mencecah RM3,000, selain elaun lain yang kompetitif.
“Selain itu, Singapura turut menawarkan gaji antara 17,000 hingga 20,000 dolar Singapura kepada jururawat Malaysia, sekali gus menjadi tarikan kepada golongan muda untuk berhijrah,” katanya. – UTUSAN










