KUALA TERENGGANU: Seorang jurumekap tidak mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Terengganu di sini, hari ini atas pertuduhan berpakaian dan berkelakuan seperti wanita.
Roslan Mohd. Yusof yang juga dikenali sebagai ‘Cik Ros’ membuat pengakuan itu dan mahu lawan bicara sejurus selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syarie Mat Ropi Busu.
Mengikut pertuduhan, Roslan didakwa melakukan kesalahan dengan memakai pakaian wanita dan berlagak seperti wanita di Hotel KT Mutiara, Jalan Sultan Ismail di sini, kira-kira pukul 2.25 pagi pada 21 November 2025.
Ketika ditanya oleh hakim mengenai pakaian yang dipakai sewaktu ditahan, tertuduh memaklumkan bahawa dia hanya memakai baju tidur.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh bicara.
Pendakwaan kes dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie manakala tertuduh diwakili firma guaman Muhammad Syarafi & Partners menerusi peguam, Mohd Faqqhurudin Mohd Nasir dan Siti Nur Adibah Pakurazzi. – UTUSAN










