Jurulatih wusyu tidak mengaku amang seksual pelajar

Jurulatih wusyu tidak mengaku amang seksual pelajar

YANG Chin Cheong (tengah) dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar berusia 15 tahun di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang jurulatih wusyu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun, pada tahun lalu.

Tertuduh, Yang Chin Cheong, 59, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia 15 tahun sembilan bulan di sebuah sekolah menengah di sini kira-kira pukul 1 tengah hari, 5 Disember 2025.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pihaknya memohon jumlah jaminan tinggi sebanyak RM30,000.

Peguam mewakili tertuduh, Hanis Nabila Rosli bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan jumlah paling minimum.

Katanya, tertuduh tidak berkahwin dan tinggal bersama anak saudara perempuan dengan lelaki itu kini digantung kerja.

“Tertuduh juga menghidap pelbagai penyakit seperti masalah jantung, darah tinggi, kencing manis dan berkaitan kolesterol serta memperuntukkan kira-kira RM600 sebulan untuk membeli ubat,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh membayar jaminan dikenakan dan kes akan disebut semula pada 18 Mei depan.

Pada 24 Disember 2025, akhbar ini melaporkan seorang lelaki membuat laporan polis terhadap jurulatih sukan disertai anak perempuannya yang didakwa melakukan gangguan seksual sejak beberapa bulan lalu.

Bapa berusia pertengahan 40–an yang enggan dikenali itu berkata, perubahan ketara berlaku terhadap mangsa apabila tidak mahu lagi menyertai sukan terbabit yang diceburinya sejak tiga tahun lalu. – UTUSAN

CAPTION
YANG Chin Cheong (tengah) dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar berusia 15 tahun di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN