JPA lancar program kampung angkat, sekolah angkat Madani 2026 - Utusan Malaysia

JPA lancar program kampung angkat, sekolah angkat Madani 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Kampung Kota Bharu memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti setempat menerusi pembangunan infrastruktur, pendidikan serta kesejahteraan sosial.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pelaksanaan oleh oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu membuktikan komitmen kerajaan memastikan setiap dasar dan perancangan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar di peringkat akar umbi.

“Melalui Program Kampung Angkat Madani 2026, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 khusus untuk kampung ini. Kami mahu penduduk melihat perubahan nyata. Sebanyak lapan projek fizikal akan dilaksanakan segera.

“Bukan itu sahaja, kami juga membawakan program bukan fizikal yang memfokuskan kepada jati diri. Program seperti gotong-royong, saringan kesihatan, dan sambutan perayaan akan terus diadakan sepanjang tahun bagi memastikan hubungan antara kerajaan dan rakyat kekal rapat seperti aur dengan tebing,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani JPA di Padang Sekolah Kebangsaan Kota Bharu di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengerusi Puspanita Cawangan Kecil Jabatan Perkhidmatan Awam Puan Sri Dr Azlifah Bahari.

Katanya, antara manfaat di bawah Kampung Angkat Madani adalah menaik taraf kemudahan asas seperti masjid, dewan orang ramai, klinik kesihatan dan balai polis selain pembinaan mercu tanda kampung.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar dipilih sebagai Sekolah Angkat Madani dengan peruntukan RM100,000 yang akan digunakan untuk menaik taraf makmal sains, bengkel reka bentuk dan teknologi (RBT) serta pembekalan komputer.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai jurutera, doktor dan ahli sains daripada kalangan anak-anak Kota Bharu. Pihak Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) juga akan turun padang untuk memberikan motivasi dan bimbingan kepimpinan kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, pelaksanaan program berkenaan turut merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar secara inklusif selain memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan negara.

Jelas Wan Ahmad Dahlan lagi, Kampung Kota Bharu turut mempunyai nilai sejarah tersendiri sebagai tempat kelahiran tokoh pejuang kemerdekaan, Dr Burhanuddin al-Helmi serta kartunis tersohor negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai LAT.

Selain itu, kedudukannya yang berhampiran kawasan alam semula jadi turut membuka potensi pembangunan berasaskan ekopelancongan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN