'Jelajah CM Chow' dibuat berkala, dekatkan pentadbiran dengan komuniti setempat - Utusan Malaysia

‘Jelajah CM Chow’ dibuat berkala, dekatkan pentadbiran dengan komuniti setempat

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika turun padang melawat Pasar Awam Bayan Baru sempena siri 'Jelajah CM Chow' di George Town, Pulau Pinang.-GAMBAR/BULETIN MUTIARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘GEORGE TOWN: Pendekatan turun padang bertemu rakyat menerusi siri ‘Jelajah CM Chow’ akan dibuat secara berkala sebagai sebahagian daripada usaha mendekatkan pentadbiran kerajaan negeri dengan komuniti setempat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif yang digerakkan bersama kepimpinan negeri itu bukan sahaja membuka ruang untuk komunikasi dua hala malah, membolehkan maklum balas diterima daripada peniaga dan pengunjung yang akan disalurkan secara terus kepada pihak berkuasa.

“Program jelajah yang memfokuskan pasar awam dan kompleks makanan ini akan dilaksanakan secara konsisten, sama ada setiap minggu atau dua minggu sekali bagi memastikan isu di lapangan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan lebih berkesan,” katanya ditemui pemberita selepas melawat Pasar Awam Bayan Baru ditemani beberapa Exco kerajaan negeri, wakil rakyat serta wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini.

Mengulas mengenai pasar awam itu pula, Kon Yeow berkata, lokasi tersebut sedang menjalani projek naik taraf secara menyeluruh termasuk melibatkan kerja-kerja penambahbaikan yang telah memasuki fasa kedua.

“Kerajaan negeri menjangkakan projek ini akan selesai sepenuhnya sebaik sahaja bahagian jualan daging siap dan peniaga dipindahkan ke lokasi baharu, sebelum tumpuan beralih kepada kompleks makanan di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pulau Pinang telah menerima peruntukan awal daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan kajian projek Pelan Induk Pengangkutan (PIL).

Jelas Kon Yeow, pelaksanaan projek bergantung kepada hasil kajian tersebut serta kelulusan untuk mendapatkan peruntukan tambahan.

“Projek ini melibatkan pembangunan laluan strategik termasuk jajaran dari kawasan pulau ke rangkaian lebuh raya utama yang dijangka dapat meningkatkan kelancaran trafik di Pulau Pinang. Justeru, kita memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terhadap usaha ini demi kebaikan bersama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×