JOHOR BAHRU: Kedudukan dalam parti sebagai ketua cabang, ketua wanita atau ketua pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan jaminan dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau juga tidak akan menandatangani watikah pencalonan selagi kekuatan cabang belum cukup kemas untuk berdepan pilihan raya.
“Ketua cabang bukan automatik calon, ketua wanita, ketua pemuda juga bukan tetapi yang automatik jadi calon itu ialah mereka yang bekerja, berdedikasi dan mampu menangkan parti.
“Tidak ‘perform’ di cabang, jangan buat tuntutan. Kita banyak pengalaman yang merajuk, hendak bantah, mahu keluar, itu semua kita sudah lalui, yang jadi tunggak dan keputusan akhir adalah kekuatan sokongan.
“Apabila hendak PRU, bicaranya hebat, teorinya banyak, strateginya canggih tetapi kekuatan kurang. Justeru, diingatkan supaya gerakkan kekuatan parti,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Johor di Ekoflora di sini, semalam.
Anwar mengingatkan semua cabang khususnya di Johor harus menggerakkan jentera parti menjelang PRU akan datang.
Beliau juga mengingatkan semua ahli parti agar tidak terlalu selesa setelah menjadi kerajaan, sebaliknya terus memperkukuh sokongan terhadap parti.
Katanya, setiap ahli perlu menunjukkan keikhlasan dan komitmen kerja yang tinggi dalam membina kekuatan khususnya di peringkat akar umbi.
“Kita perlu ingat, bukan mudah untuk berada di kedudukan pada hari ini. Parti ini penuh dengan perjuangan, kalau mahu pertahankan kedudukan, kita perlu tunjuk contoh yang baik.
“Ini kerana kita belum ada kekuatan untuk putuskan semua perkara. Jadi, kita perlu persiapkan diri sebelum tibanya pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, dalam Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka Felda di Felda Semenchu, Kota Tinggi, Anwar memberi jaminan kerajaan akan terus membela kebajikan rakyat termasuk warga Felda dalam mendepani kesan krisis global, susulan konflik perang melibatkan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Menurut beliau, kerajaan maklum dengan peningkatan pelbagai kos termasuk bahan api yang sedang dihadapi semua golongan termasuk peneroka, petani dan nelayan ketika ini.
“Harga baja import, urea, potassium semua naik, ini kenaikan dunia, bukan kerajaan naikkan. Bukan mahu mengeluh tetapi ini kita perlu terima kenyataan. Subsidi minyak ditambah sehingga cecah RM6 bilion sebulan, ia akan jadi RM60 bilion dalam tempoh 10 bulan, sebagai Perdana Menteri saya akan cari apa sahaja cara yang mungkin untuk selesaikan.
“Kita tidak boleh kawal perang atau harga dunia, tetapi kita boleh ambil langkah untuk kurangkan beban rakyat. Walaupun kos meningkat, kita tetap pertahankan supaya rakyat tidak terbeban seperti di negara lain yang berdepan harga bahan api jauh lebih tinggi,” katanya.
Perdana Menteri turut memberikan komitmen untuk memudahkan pelaksanaan projek-projek berkaitan Felda termasuk isu melibatkan rumah bagi generasi kedua peneroka Felda.
“Hal berkaitan Felda, kita minta Pengerusi Felda untuk bawa dalam mesyuarat, apa yang kita mungkin boleh tolong rakyat termasuklah keluarga peneroka Felda,” katanya. – UTUSAN










