PUTRAJAYA: Rakyat diingatkan supaya tidak terlalu selesa dan leka dengan krisis tenaga global ketika ini kerana risiko gangguan bekalan tenaga semakin meningkat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan paling sukar ketika ini ialah mengimbangi mesej kepada rakyat agar realistik, telus dan pada masa sama tidak menimbulkan kegusaran berlebihan.
Beliau berkata, kerajaan tidak mahu rakyat berada dalam keadaan panik, namun pada masa sama tidak mahu wujud sindrom penafinan seolah-olah situasi global tidak akan memberi kesan kepada negara.
“Cabaran kerajaan ketika ini ialah mempersiapkan rakyat untuk menerima hakikat kerana the pain is coming. Pada masa sama, kita pun tak mahu rakyat complacent (leka),” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, beliau meminta Ketua Setiausaha Kementerian supaya meneliti dan memberi keutamaan kepada penambahbaikan kemudahan anggota khususnya di Pengkalan Hulu, Perak.
“Saya turun sendiri meninjau keadaan di beberapa lokasi perbatasan sempadan bagi melihat pelaksanaan tugas penguatkuasaan oleh pasukan keselamatan di lapangan.
“Saya tidak sampai hati melihat tempat bertugas dan kemudahan berlindung anggota kita yang serba kekurangan, malah ada yang tidak lebih baik daripada stor kecil,” katanya. – UTUSAN










