Jaga adab walaupun tiada denda ambil gambar Kaabah

Jaga adab walaupun tiada denda ambil gambar Kaabah

MOHD. Hisham Harun (tengah) dalam sidang akhbar mingguan operasi haji 2026 di Pejabat Operasi Tabung Haji, Mekah, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah haji diingatkan tidak sewenang-wenangnya mengambil gambar dan video di Masjidil Haram sehingga mengganggu tumpuan ibadah, walaupun dakwaan perbuatan itu boleh dikenakan denda 10,000 riyal disahkan tidak benar.

Ketua Rombongan Haji Ma­laysia, Mohd. Hisham Harun berkata, tiada larangan mengambil gambar di Masjidil Haram termasuk Kaabah, namun jemaah dinasihatkan melakukannya pa­da waktu sesuai.

Menurutnya, jemaah sepatutnya memberi keutamaan kepada ibadah dan mengelak me­rakam video ketika tawaf atau melakukan ibadah lain.

“Saya nak maklumkan bahawa tiada masalah untuk me­ngambil gambar di sekeliling Kaabah. Tetapi adalah disarankan supaya mereka ini tidak membuat demikian semasa me­laksanakan ibadah.

“Masa tawaf jangan buat vi­deo dan sebagainya kerana itu mungkin mengganggu ibadat mereka.

“Jadi untuk mereka mengambil gambar selepas tawaf dan mengambil gambar di persekitaran Masjidil Haram, tiada masalah dan yang mengatakan kena denda 10,000 riyal itu adalah tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar mingguan operasi haji 1447H/2026 semalam.

Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa pihak berkuasa Arab Saudi mengenakan denda 10,000 riyal atau bersamaan RM10,500 dan ditahan serta dihantar pulang ke negara asal terhadap mereka mengambil gambar atau video di Masjidil Haram khususnya di hadapan Kaabah.

Dalam pada itu, Mohd. Hi­sham menggesa jemaah haji Malaysia tidak mengambil mudah memakai kad Nusuk pada setiap masa.

Menurut beliau, kad Nusuk merupakan dokumen penting yang akan diperiksa oleh pihak berkuasa di lokasi tertentu termasuk di pusat pemeriksaan dan ketika memasuki Masjidil Haram.

“Dalam situasi tertentu, pihak berkuasa mungkin meminta pengesahan melalui aplikasi Nusuk, yang boleh mengambil masa dan menyukarkan pergerakan jemaah, khususnya ketika ingin ke masjid,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Hisham berkata, operasi haji musim ini yang genap seminggu bermula secara rasmi sejak penerbangan pertama pada 18 April lalu berjalan lancar.

Katanya, setakat pukul 10 pagi Ahad, seramai 7,489 jemaah haji Malaysia telah tiba di tanah suci, dengan 2,630 orang berada di Mekah manakala 4,859 lagi di Madinah.

Menurutnya, sebanyak 25 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah mengikut jadual.

Beliau berkata, pergerakan jemaah dari Madinah ke Mekah turut berjalan seperti dirancang, membabitkan dua hingga tiga bas setiap hari mengikut kumpulan penerbangan masing-masing.

Katanya, bagasi jemaah dihantar lebih awal ke bilik penginapan, manakala setibanya di Makkah mereka diberi masa berehat sebelum dibimbing menunaikan umrah.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN