Isytihar harta: Anak Daim didakwa hari ini

Isytihar harta: Anak Daim didakwa hari ini

KENDERAAN SUV yang membawa anak perempuan Tun Daim Zainuddin, Asnida tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Asnida Daim akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Perkara itu disahkan peguam Asnida, Yu Ying Ying ketika dihubungi media.

Ying Ying berkata, Asnida akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Ya, beliau akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) (Akta SPRM 2009) di Mahkamah Jalan Duta esok (hari ini),” katanya.

Difahamkan, Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berkaitan dengan kesalahan gagal mematuhi notis bertulis daripada SPRM untuk mengisytiharkan harta.

Individu yang gagal mematuhi notis itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Ying Ying mengesahkan anak guamnya itu Asnida diambil keterangan bermula pukul 10 pagi tadi dan selesai kira-kira lima jam kemudian di Ibu Pejabat SPRM.

Bagaimanapun, setakat ini hanya Asnida yang hadir ke SPRM untuk direkodkan manakala, tiga lagi anak Tun Daim tidak kelihatan biarpun telah diarahkan hadir memberi keterangan hari ini.

Tiga lagi anak Tun Daim iaitu Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Buat masa ini, tiada makluman mengenai kehadiran ketiga-tiga individu itu daripada SPRM sama ada hadir memberi keterangan dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, empat anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham diarahkan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Sebelum ini, SPRM menyerahkan Notis Kesan Individu ke atas empat anak Allahyarham Daim susulan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi berkaitan perisytiharan aset. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN