PUTRAJAYA: Kes penyelewengan geran kajian institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini menunjukkan trend membimbangkan apabila melibatkan integriti dalam sektor akademik yang sepatutnya menjadi tunjang pembangunan ilmu negara.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Saiful Ezral Arifin berkata, hampir RM1 juta nilai kes penyelewengan melibatkan geran kajian IPT awam dan swasta di negara ini dikesan bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Katanya, berdasarkan rekod SPRM, jumlah keseluruhan nilai wang yang terlibat mencecah RM603,526.58 dengan sebanyak 51 maklumat diterima sepanjang tempoh tersebut.
“Daripada jumlah maklumat yang diterima, sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka dengan 10 tangkapan dibuat, namun hanya empat kes berjaya dituduh di mahkamah dan dua daripadanya merekodkan sabitan setakat ini.
“Ini menunjukkan masih wujud ruang penambahbaikan dalam aspek penguatkuasaan serta pemantauan penggunaan geran penyelidikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut data, katanya, tahun 2023 mencatatkan nilai penyelewengan tertinggi iaitu RM519,889.58 diikuti 2024 sebanyak RM36,000 dan 2021 (RM27,637).
Bagaimanapun, tahun 2022 tidak merekodkan sebarang nilai kerugian walaupun terdapat dua tangkapan dan dua pertuduhan dibuat, manakala 2025 setakat ini mencatatkan nilai RM20,000 dengan satu kes sabitan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tuntutan palsu, penyalahgunaan peruntukan geran serta penglibatan pihak dalaman IPT sendiri.
“Geran kajian sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan penyelidikan dan inovasi, bukannya diseleweng bagi kepentingan peribadi.
“SPRM tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiat pemantauan termasuk bekerjasama dengan pihak pengurusan IPT bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan dana,” katanya.
Tambah beliau, kesedaran mengenai integriti dalam kalangan penyelidik dan pentadbir universiti perlu diperkukuh bagi mengekang ketirisan dana awam daripada terus berlaku.
Katanya, kes penyelewengan dan rasuah dalam IPT tidak boleh dianggap sebagai isu terpencil kerana ia boleh mengundang kepada normalisasi perbuatan tersebut sehingga menjadi budaya dalam pentadbiran sistem pendidikan tinggi itu.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, IPT yang sepatutnya menjadi pemangkin pembinaan integriti kini menjadi ‘lubuk rasuah’ apabila gejalanya menular secara senyap dalam ekosistem pendidikan negara.
Lebih membimbangkan, perbuatan itu bukan sahaja melibatkan urusan pentadbiran dan kewangan, malah turut meresap dalam aspek akademik seperti pemberian markah, kelulusan kursus dan peluang penyelidikan sehingga mencemarkan nilai sebenar ilmu. – UTUSAN










