Isu serantau perlu ditangani tanpa campur tangan pihak luar - PM

Isu serantau perlu ditangani tanpa campur tangan pihak luar – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu yang wujud di rantau ini termasuk mengenai ketegangan yang berlaku di Laut China Selatan perlu ditangani secara bersama dan tanpa campur tangan pihak luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia kekal mengenai kebebasan strategik dalam menangani ketegangan di Laut China Selatan.

Beliau berkata, ASEAN perlu memimpin dalam mengurus pertikaian yang ada di rantau ini termasuk isu melibatkan China dan Filipina.

“Kami akan mendesak satu kod tatakelakuan dengan China, bersama rakan ASEAN, bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan tanpa campur tangan kuasa luar,” katanya semasa sesi soal jawab di Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini hari ini.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, China menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan Filipina yang didakwa bercadang menamakan semula beberapa pulau yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning mendakwa Filipina secara tidak sah menetapkan sempadan bagi gugusan Pulau Kalayaan.

Katanya, tindakan dilakukan Filipina  itu melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa berkaitan.

Jelasnya, langkah sewajarnya akan diambil China bagi mempertahankan kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingannya di Laut China Selatan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pertikaian antara China dan Filipina itu akan dibangkitkan pada mesyuarat pemimpin ASEAN akan datang yang berlangsung di Manila.

Katanya,  usaha untuk memelihara kedaulatan dan kemerdekaan amat penting, bukan sahaja di Laut China Selatan tetapi turut di laluan strategik lain termasuk Lautan India.

“Itu sangat penting, kita mesti mampu menyelesaikan masalah dan perbezaan kita sendiri. Kita mesti mengekalkan hak serta kebebasan kita yang tegas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN