Isu layanan kasar terhadap isteri selesai, Azmi Saat maafkan pihak bank

Isu layanan kasar terhadap isteri selesai, Azmi Saat maafkan pihak bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Chaliph Buskers, Azmi Saat memaklumkan wakil pihak bank yang didakwa bercakap kasar dengan isterinya telah menghubunginya bagi meleraikan salah faham yang timbul.

Azmi atau Khairul Azmi Muhammad Saat, 39, berkata, selepas video tegurannya terhadap layanan kurang memuaskan diterima isterinya yang juga orang kurang upaya (OKU) tular di media sosial, pihak bank segera tampil memohon maaf.

“Sehari selepas video dimuat naik, pihak bank ada menghubungi, saya tidak sempat menjawab panggilan tersebut. Mereka kemudian menghubungi isteri saya dan mengajak kami berjumpa di kawasan kediaman.

“Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan baik dan saya juga telah menurunkan video tersebut daripada media sosial. Bagaimanapun, terdapat pihak lain yang telah memuat naik semula video berkenaan di platform lain, jadi saya tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Chaliph Buskers di kuarters KTBM Bangsar, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Azmi mengakui sedikit terkilan apabila menyebut nama kakitangan dikenali sebagai ‘Kak Nor’ dalam video tersebut sehingga menjadi bahan gurauan orang ramai.

“Secara peribadi, saya berasa bersalah kerana menyebut nama individu tersebut. Mungkin dia atau ahli keluarganya menyedari perkara itu.

“Saya harap orang ramai tidak dapat mengenal pasti individu berkenaan. Namun sekarang, setiap kali saya keluar, ada sahaja yang berseloroh meminta saya menyampaikan salam atau memohon maaf kepada ‘Kak Nor’.

“Ramai juga yang sebelum ini sudah kurang memberi perhatian kepada Chaliph Buskers, tetapi selepas video itu tular, ramai pula yang memberikan reaksi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Azmi yang juga seorang OKU berkata, beliau telah beberapa kali berdepan layanan kurang memuaskan, khususnya di tempat awam, namun berharap semua pihak dapat memberikan layanan profesional tanpa mengira latar belakang.

“Perkara seperti ini bukan kali pertama berlaku, terutamanya di pusat beli-belah. Namun, saya berkongsi video tersebut kerana isteri saya ketika itu sampai menangis dan meninggikan suara sedikit. Sebagai suami, saya perlu melindunginya.

“Kami tidak mengharapkan layanan istimewa, memadai jika diberikan layanan yang baik dan profesional. Jika tidak dapat membantu sekalipun, cukuplah dengan layanan yang berhemah,” katanya.

Terdahulu, Azmi menerusi media sosial meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan seorang kakitangan sebuah bank yang didakwa bercakap kasar dengan isterinya yang juga OKU. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN