Isteri Ryan Bakery keguguran anak kedua - Utusan Malaysia

Isteri Ryan Bakery keguguran anak kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan pempengaruh media sosial, Ryan Bakery, berkongsi khabar duka apabila isterinya, Elyia Ibrahim, mengalami keguguran cahaya mata kedua mereka pada Ahad lalu.

Ryan atau Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 31, berkata, isterinya baru sahaja menerima berita kehamilan itu pada 1 Syawal lalu ketika kandungan berusia lebih sebulan, namun tidak menyangka kegembiraan tersebut bertukar duka hanya beberapa hari kemudian.

“Mungkin isteri saya terlalu penat. Berita gembira itu kami terima pada 1 Syawal, tetapi ketika pulang ke kampung di Pahang, isteri tergerak hati untuk ke klinik bagi membuat pemeriksaan kandungan.

“Setibanya di klinik, isteri mengalami pendarahan. Doktor melakukan imbasan, namun kandungan tidak dapat dikesan sebelum kami dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. Di situlah kami dimaklumkan isteri mengalami keguguran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri FYP anjuran Indigitals di LMP Events Hall, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Raya Last Minit itu menyifatkan kehilangan tersebut sebagai satu ujian buat mereka sekeluarga, namun kini memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyokong emosi isterinya.

“Saya memang sedih, tetapi kita sebagai lelaki mungkin tidak dapat merasai sepenuhnya apa yang dialami wanita. Tidak wajar untuk berkata ‘sudahlah’ kerana kandungan itu berada dalam tubuhnya.

“Apabila dia beremosi atau menanggung kesakitan, saya perlu kuat. Saya sedih, tetapi isteri saya pasti lebih sedih. Di kampung pun, kadang-kadang dia menangis kerana sudah membuat persiapan seperti membeli susu dan sebagainya,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Ryan bersyukur keadaan isterinya kini semakin baik dan kembali ceria seperti biasa.

“Dia ada meminta untuk tinggal lebih lama di kampung kerana apabila dikelilingi ramai orang, dia berasa lebih terhibur. Jika bersendirian, dia mudah berasa sedih. Saya juga cuba memujuk dan membawanya keluar.

“Baru-baru ini dia sempat berseloroh, ‘Walaupun tiada rezeki anak kedua, hadiah untuk ibu mengandung tetap kena ada.’ Saya anggap itu sebagai satu petanda positif,” ujarnya.

Untuk rekod, Ryan dan Elyia mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2022. Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ryan Ezra. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN