Inspur meterai EPCC bernilai RM569 juta bagi projek pusat data - Utusan Malaysia

Inspur meterai EPCC bernilai RM569 juta bagi projek pusat data

WILSON Ugak Anak Kumbong (tengah) semasa pelancaran projek Pusat Data SILVERSTREAMS di Bagan Datuk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inspur Communication Malaysia Sdn. Bhd. (Inspur) memeterai perjanjian kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bernilai RM569 juta bagi pembangunan Pusat Data Silverstreams di Bagan Datuk.

Perjanjian itu dimeterai bersama Silver Streams Technofarm Sdn. Bhd. (Silver Streams), sekali gus menandakan projek berkenaan telah melepasi peringkat perancangan dan kini memasuki fasa pelaksanaan dengan kerja-kerja awal sudah dimulakan.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, pembangunan pusat data bertaraf tinggi di Bagan Datuk itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pusat data dan teknologi di peringkat serantau.

Menurut beliau, pusat data berperanan sebagai tulang belakang kepada teknologi utama seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pemprosesan data berskala besar.

“Keupayaan sesebuah negara dalam membangunkan infrastruktur ini akan menentukan tahap daya saing dalam ekonomi digital global, di samping menarik pelaburan berkualiti tinggi serta mempercepat inovasi teknologi.

“Perkembangan ini selari dengan hala tuju negara untuk memperkasa Malaysia sebagai sebuah negara AI menjelang 2030,” katanya pada Majlis Pemeteraian Perjanjian EPCC antara Inspur dan Silver Streams di Mitec, semalam.

Beliau berkata pembangunan pusat data tidak boleh dilihat secara terasing, sebaliknya sebagai sebahagian daripada ekosistem yang menyokong pembangunan teknologi kecerdasan buatan secara menyeluruh.

Terletak di Bagan Datuk, projek itu dijangka memperluas infrastruktur digital di luar Lembah Klang, sekali gus mengukuhkan potensi Perak sebagai lokasi pilihan pelaburan teknologi jangka panjang.

Projek berkenaan dibangunkan sebagai pusat data pelbagai peringkat (multi-tier) yang direka untuk menyokong keperluan infrastruktur digital berdaulat dengan tahap keselamatan tinggi.

Pembangunan itu turut mencerminkan peningkatan tahap kecanggihan ekosistem pusat data negara serta kepentingan infrastruktur yang mampu memenuhi keperluan sektor awan dan swasta.

Fasa 1 projek melibatkan beban IT sebanyak 10.06MW serta skop EPCC penuh merangkumi reka bentuk, perolehan, pembinaan dan pentauliahan.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Inspur Cloud Information Technology Co. Ltd., Lawrence Yu berkata, projek itu mencerminkan skala permintaan infrastruktur digital di Malaysia serta kepentingan membangunkan kemudahan yang memenuhi standard ketahanan dan prestasi tinggi.

“Inspur melihat Malaysia sebagai pasaran penting dalam pelan pertumbuhan serantau kami.

“Kerjasama dengan Silver Streams merupakan peluang bagi kami untuk menyampaikan infrastruktur yang menyokong transformasi digital jangka panjang di Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif PRIVASIA Technology Berhad, Datuk Azman Mahmud berkata pelancaran tersebut menandakan peralihan penting daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan di lapangan.

“Pembangunan ini merupakan komitmen pelaburan besar di Bagan Datuk, Perak dan Malaysia.

“Ia sekali gus menunjukkan satu kenyataan jelas bahawa infrastruktur digital bertaraf dunia boleh dibangunkan di luar koridor teknologi tradisional apabila visi, rakan strategik dan keupayaan pelaksanaan digabungkan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN