Industri pelancongan Pulau Tioman bakal terjejas?

Industri pelancongan Pulau Tioman bakal terjejas?

PENDUDUK dan pengusaha pusat pelancongan di Pulau Tioman, Pahang kini berdepan tekanan kadar surcaj bahan api oleh syarikat perkhidmatan feri. - GAMBR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penduduk dan pengusaha pusat pelancongan di Pulau Tioman, Pahang kini berdepan tekanan susulan pelaksanaan kadar surcaj bahan api oleh syarikat perkhidmatan feri.

Salah seorang pengusaha pelancongan, Syed Rizalman Syed Abu Bakar berkata, kadar surcaj tambahan baharu sebanyak RM16 bagi perjalanan sehala itu membebankan semua pihak termasuk pelancong, penduduk dan pengusaha resort.

Menurutnya, lebih mendukacitakan, keputusan tersebut dibuat secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira implikasi terhadap pulau yang menjadi salah satu penyumbang kepada industri pelancongan tempatan dengan kehadiran kira-kira 250,000 pelancong setiap tahun.

“Bayangkan sebelum ini harga tiket feri ke Pulau Tioman ialah RM60 sehala. Dengan tambahan RM16, kos meningkat kepada RM76 sehala menjadikan jumlah perjalanan pergi dan balik mencecah RM152 hanya untuk tambang feri sahaja. Itu belum kos lain.

“Untuk penduduk pula, tambang dikenakan selepas surcaj ialah sebanyak RM46 untuk sehala. Mereka pula bukannya ada pendapatan tetap dan lebih membimbangkan, pelaksanaan ini dibuat secara mengejut tanpa sebarang perbincangan menyeluruh dengan pelbagai pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Katanya, kenaikan ini semestinya melibatkan keseluruhan rantaian yang bukan hanya melibatkan pelancong dan pihak industri, tetapi penduduk.

Menurut Syed Rizalman, syarikat feri itu juga didakwa mengambil sikap lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap kenaikan itu.

“Syarikat suruh kita ambil duit surcaj tiket iaitu RM16 (sehala) itu daripada pelancong dan kemudian wang tersebut diserahkan kepada mereka sekiranya ada yang telah menempah tiket pada harga lama.

“Jadi dalam hal ini, kami pula yang perlu menjelaskan kepada pelancong mengenai surcaj ini dan bukannya mereka,” jelasnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Ikmal Jalil berkata, golongan penduduk tempatan juga tidak terkecuali daripada menanggung beban akibat kenaikan tersebut.

“Dengan kenaikan harga bahan api dan surcaj ini, kami makin terhimpit. Besar kemungkinan kami tidak boleh lagi bergantung harap kepada sektor pelancongan dengan hanya bekerja kampung sahaja,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN