Inap desa di Sungai Lembing suram, tempahan merosot 50 peratus

Inap desa di Sungai Lembing suram, tempahan merosot 50 peratus

SUASANA lengang di pekan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang, yang dahulunya meriah dengan kehadiran pelancong, kini terkesan susulan penurunan kunjungan pelawat sejak kebelakangan ini. UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tempahan penginapan inap desa di Sungai Lembing di sini merosot sehingga 50 peratus susulan kekurangan kedatangan pelancong sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Kluster Homestay Sungai Lembing, Muhammad Ridzal Sukimi berkata, situasi itu berlaku walaupun pengusaha tidak menaikkan harga sewa sejak tiga tahun lalu bagi mengekalkan daya tarikan kepada pelancong.

“Setakat ini, harga homestay masih sama dan tidak pernah dinaikkan namun keadaan ekonomi yang tidak menentu  menyebabkan jumlah pengunjung semakin berkurangan.

“Keadaan ini secara langsung memberi kesan kepada kadar penginapan di homestay sehingga menurun kira-kira 50 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, semalam.

Muhammad Ridzal berkata, sektor pelancongan Sungai Lembing bergantung kepada konsep pelancongan sejarah dan ekopelancongan sekali gus menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada situasi tersebut.

Katanya, kira-kira 80 peratus aktiviti pelancongan di kawasan itu tertumpu kepada ekopelancongan khususnya kunjungan ke Air Terjun Pelangi yang menjadi tarikan utama pelancong.

“Bagaimanapun, beberapa kekangan seperti peningkatan kos operasi termasuk kenaikan harga permit dan diesel menyebabkan kunjungan ke lokasi tersebut semakin berkurangan.

“Jika sebelum ini kos ke Air Terjun Pelangi sekitar RM40 seorang, kini meningkat kepada antara RM80 hingga RM90 seorang sekali gus menjejaskan minat pelancong,” jelasnya.

Ekoran itu, katanya, bukan sahaja penutupan sementara terowong bijih timah yang sebelum ini menjadi ikon pelancongan sejarah malah kenaikan harga pakej pelancongan lain turut memberi impak besar kepada kehadiran pelawat ke Sungai Lembing.

Menurut beliau, kluster inap desa tidak terkecuali menerima tempias apabila jumlah pengunjung yang menginap semakin berkurangan namun pengusaha masih mampu bertahan setakat ini.

“Kita cuba sedaya-upaya memastikan pengusaha homestay ini tidak gulung tikar. Pelbagai usaha promosi sedang dan akan terus dilaksanakan termasuk menawarkan pakej penginapan yang lebih berpatutan.

“Kita faham dalam keadaan ekonomi semasa, orang ramai mencari lokasi pelancongan yang sesuai dengan bajet mereka. Malah, pelancong kini lebih bijak berbelanja dan cenderung berjimat, jadi kita cuba sediakan pakej yang benar-benar berbaloi dan mampu milik,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap sokongan berterusan daripada pihak berkaitan serta usaha pemulihan produk pelancongan utama dapat membantu merancakkan semula industri pelancongan di Sungai Lembing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN