Impian tunai haji tercapai pada usia 70 tahun

Impian tunai haji tercapai pada usia 70 tahun, selepas setahun tertangguh

ZAINAB Mamat mengemas barangan yang akan dibawa untuk berangkat menunaikan ibadah haji di rumahnya di Binjai Manis, Setiu, Terengganu. – UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Impian seorang warga emas dari Binjai Manis di sini, untuk menjadi tetamu Allah SWT bakal menjadi kenyataan apabila dipilih menunaikan ibadah haji musim ini selepas tertangguh tahun lalu.

Zainab Mamat, 70, berkata, hasratnya itu hampir ‘terkubur’ apabila dia terpaksa menangguhkan keberangkatannya pada tahun lepas kerana masalah kesihatan.

Tahun ini dia sekali lagi mendapat peluang sama dan bersyukur kerana impian ke tanah suci sudah lama diinginkan sejak arwah suaminya, Allahyarham Awang Seman Awang Teh masih hidup.

“Sejak muda kami mendaftar untuk menunaikan haji bersama-sama tetapi tidak kesampaian apabila arwah suami terlebih dahulu dijemput Ilahi pada 2024,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semua persiapan telah dilakukan termasuk menghadiri kursus haji yang dianjurkan di daerah Setiu dan di Gong Badak, Kuala Nerus.

Sebagai pesakit diabetes kronik, darah tinggi dan penghidap masalah saraf, dia sudah mempersiapkan ubat-ubatan seperti disarankan doktor.

“Untuk persiapan lain, saya turut bersenam di kawasan perumahan dengan berjalan kaki. Saya tidak mahu kesihatan diri menjadi beban rakan-rakan haji yang lain, lebih-lebih lagi kerana saya tidak mempunyai pengiring,” katanya.

Zainab dijadualkan berangkat ke tanah suci pada 25 April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN