BALAKONG: Jabatan Imigresen telah mengeluarkan kompaun mencecah RM42.6 juta terhadap majikan yang didapati menggaji warga asing tanpa dokumen sah bagi tempoh 2025 hingga Februari tahun ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, bagi tahun 2025 sahaja seramai 1,939 majikan dikompaun membabitkan jumlah RM36,646,000.
“Mengikut rekod tahun ini setakat Februari, pihak imigresen sudah mengambil tindakan terhadap 347 majikan dengan jumlah kompaun bernilai RM5,977,500.
“Secara keseluruhan, sebanyak 2,286 majikan dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM42,623,500 setakat Februari tahun ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi di sini hari ini.
Menurutnya, selain kompaun, tindakan mahkamah diambil apabila 454 majikan didenda RM10,929,400 sepanjang 2025.
“Di mahkamah pun kalau ikut rekod kita tahun ini, denda yang dikenakan bernilai RM1,279, 000 yang dijatuhkan hukuman oleh pihak mahkamah dan untuk tahun lepas lebih daripada RM10 juta.
“Jadi ini satu rekod yang menunjukkan kita memberi perhatian yang serius untuk kita ambil tindakan kepada majikan-majikan yang degil ini,” jelasnya.
Zakaria berkata, sebanyak 3,250 operasi dijalankan dengan 50,951 individu diperiksa dan 11,077 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan manakala 506 majikan turut diberkas sehingga semalam.
“Saya tekankan supaya semua majikan yang menggaji atau melindungi warga asing tanpa dokumen memberi perhatian serius kerana tindakan kita kini lebih tertumpu kepada majikan.
“Selagi majikan tidak diambil tindakan, warga asing akan merasakan mudah untuk mendapatkan pekerjaan apabila berada di negara ini,” ujarnya.
Menurutnya, alasan kekurangan pekerja tempatan tidak boleh dijadikan justifikasi.
“Alasan biasa yang kita terima adalah sukar mendapatkan pekerja, namun ia tidak boleh diterima kerana undang-undang tidak memberi sebarang pengecualian.
“Majikan perlu bertanggungjawab kerana mereka yang menggaji warga asing berkenaan. Apabila tindakan diambil, mereka tidak boleh menyalahkan ejen atau mana-mana pihak lain,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap majikan yang ingkar termasuk kompaun dan pendakwaan di mahkamah bagi memastikan undang-undang dipatuhi serta mengekang kebergantungan terhadap pekerja asing tanpa dokumen di negara ini.-UTUSAN










