PETALING JAYA : Sebuah hospital Institut Jantung Negara (IJN) bakal dibangunkan di Sabah menerusi kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Institut Jantung Negara (IJN) bagi memperluaskan akses rawatan kardiovaskular bertaraf tinggi di negeri itu.
Perkara itu dimuktamadkan menerusi pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang meliputi pembangunan hospital berkenaan serta kerjasama pendidikan kesihatan antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College.
Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Noor di Sabah International Convention Centre (SICC).
Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Jasnih Daya berkata, pembangunan Hospital IJN di Sabah merupakan langkah signifikan dalam memastikan rakyat negeri itu tidak lagi perlu bergantung kepada rawatan di Kuala Lumpur.
“Pada masa ini ramai pesakit jantung dari Sabah terpaksa mendapatkan rawatan di IJN Kuala Lumpur yang melibatkan kos perjalanan dan penginapan yang tinggi serta tempoh menunggu yang panjang.
“Pembukaan hospital ini akan membantu mengurangkan beban kewangan pesakit di samping mempercepatkan akses kepada rawatan pakar,” katanya.
Menurut beliau, hospital tersebut akan dibina di kawasan Likas di atas tapak seluas 10 ekar yang telah diwartakan khusus bagi pembangunan kemudahan kesihatan itu.
Tambahnya, walaupun kerajaan negeri sebelum ini telah menubuhkan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, kapasiti sedia ada masih belum mampu menampung permintaan yang semakin meningkat.
Sementara itu, Pengerusi IJN, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pembangunan hospital berkenaan bukan sekadar menyediakan fasiliti rawatan, malah membentuk ekosistem kesihatan yang menyeluruh.
“Penyakit jantung kekal sebagai antara penyumbang utama kematian di Malaysia, justeru pendekatan lebih strategik dan bersepadu diperlukan bagi memperkukuhkan sistem kesihatan negara.
“Inisiatif ini merangkumi rawatan, latihan, penyelidikan serta pemindahan kepakaran kepada tenaga kerja tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib berkata, pihaknya komited memastikan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi standard antarabangsa.
“Melalui kerjasama ini, IJN akan membawa kepakaran klinikal, teknologi serta sistem rawatan bagi memastikan perkhidmatan kardiovaskular yang berkualiti tinggi dapat disediakan di Sabah.
“Kami juga memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti tempatan agar tenaga kerja kesihatan di negeri ini terus diperkasakan,” katanya.
Selain pembangunan hospital, kerjasama antara UCSF dan IJN University College turut dimeterai bagi memperkukuhkan bidang pendidikan dan latihan profesional kesihatan.
Inisiatif itu dijangka membuka peluang kepada pembangunan modal insan tempatan serta melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam sektor perubatan.
Pembangunan Hospital IJN di Sabah dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat melalui peningkatan akses kepada rawatan jantung, mengurangkan keperluan rujukan ke luar negeri serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan.
Usaha tersebut selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuhkan sistem kesihatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di Sabah. – UTUSAN










