PETALING JAYA: Pemandu cuai sehingga menyebabkan kematian khususnya melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah akan dikenakan tindakan tegas termasuk pertimbangan hukuman lebih berat.
Pendekatan itu selaras dengan usaha berterusan memperkukuh penguatkuasaan serta memberi mesej jelas bahawa kecuaian di jalan raya tidak akan dikompromi.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya memandang serius setiap kes kemalangan maut yang berlaku dan tidak akan berkompromi dalam tindakan undang-undang.
Menurutnya, setiap kesalahan lalu lintas yang mengakibatkan kehilangan nyawa akan disiasat secara menyeluruh dan telus tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.
“Tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, tindakan tegas termasuk pertimbangan hukuman yang lebih berat akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati cuai atau memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“Ini termasuk kes melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai kemalangan maut yang berlaku pada 29 Mac lalu kira-kira pukul 11.30 pagi di Jalan Raya Barat, Klang, katanya, siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dan dua kenderaan lain.
“Kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan dipandu lelaki tempatan memasuki laluan bertentangan ketika cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah motosikal yang sedang bergerak lurus.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal, lelaki tempatan berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” jelasnya.
Mohammed Hasbullah berkata, susulan kejadian itu, pemandu terlibat telah didakwa di Mahkamah Klang pada hari ini.
“Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
“Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya. – UTUSAN










