KUALA LUMPUR: Malaysia menerima faedah melalui hubungan akrab yang dijalin dengan negara-negara di Asia Barat termasuk Iran hingga membolehkan kapal minyak milik negara melintasi Selat Hormuz.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sentiasa berinteraksi dan bertukar pandangan dengan pemimpin dari benua tersebut.
Beliau berkata, selain menyampaikan kebimbangan negara Teluk lain akibat konflik Asia Barat, beliau turut menghubungi Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bagi menyelesaikan isu kapal komersial milik Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz.
“Dalam perbualan saya dengan Presiden Iran, saya memaklumkan beberapa kapal utama kita tersekat dan ini akan menimbulkan kesukaran. Beliau segera memberi arahan supaya perkara itu ditangani dan memberi jaminan bahawa mereka akan mengambil tindakan dengan segera.
“Sekali lagi, ini hanya boleh berlaku dengan tahap kepercayaan yang dibina seperti ini. Saya juga memahami pendirian Iran dan sebab itu kita tidak menyokong sepenuhnya gesaan untuk membuka laluan tanpa mengambil kira isu di Asia Barat,” katanya ketika sesi perbincangan bersama Perdana Menteri pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau memahami kebimbangan yang disuarakan negara Asia Barat termasuk Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi susulan tindakan Iran meningkatkan ketegangan dan memberi kesan kepada negara jiran.
Bagaimanapun, tegasnya, situasi yang dihadapi oleh Iran turut perlu diambil kira kerana mereka terus menghadapi serangan berterusan termasuk terhadap kanak-kanak dan kemudahan awam di sana.
“Saya tidak boleh mengabaikannya dan sebab itu saya nyatakan Malaysia mengambil pendirian tegas mengecam tindakan agresif Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS). Pendirian kita jelas dan tegas, walaupun berisiko sebagai negara kecil.
“Pada masa sama, saya turut menyampaikan kebimbangan rakan di Teluk. Ada yang mempersoalkan kenapa saya berhubung dengan Iran dan saya katakan, sekurang-kurangnya saya mewakili kebimbangan mereka.
“Kita tidak boleh bersikap hipokrit dengan hanya melihat satu sisi saja. Kita mengambil pendirian yang konsisten dan menyeluruh,” katanya. – UTUSAN










