KUALA TERENGGANU: Projek Hotel Pulau Poh di Tasik Kenyir di Hulu Terengganu, dekat sini memasuki fasa akhir persediaan dengan sasaran mula beroperasi sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun ini, sekali gus dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporate Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, projek berimpak tinggi itu dilihat mampu menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam memperkukuh ekosistem pelancongan di Tasik Kenyir.
Katanya, kos pembinaan hotel oleh Kerajaan Negeri Terengganu berjumlah RM97.4 juta itu dijangka memberi limpahan manfaat kepada pembangunan sosioekonomi setempat.
“Projek berkenaan diserahkan kepada Terengganu Inc. pada Disember 2024 dan kini masih berada dalam tempoh Defects Liability Period (DLP).
“Bagaimanapun, susulan penarikan diri operator hotel sebelum ini pada pertengahan Februari lalu, Terengganu Inc. mengambil alih pengurusan dan melaksanakan pendekatan strategik dengan memanfaatkan kepakaran dalaman,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Terengganu Inc., di sini hari ini.
Burhanuddin Hilmi berkata, hotel bertaraf tiga bintang itu menawarkan sebanyak 150 bilik penginapan lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan konvensyen berkapasiti sehingga 1,000 tetamu, enam bilik mesyuarat serta restoran yang mampu menampung 300 orang.
Selain itu, Pulau Poh di Tasik Kenyir yang diuruskan sepenuhnya oleh Terengganu Inc. dilengkapi fasiliti tambahan seperti dewan terapung berbentuk kubah, jeti bot laju, rumah bot, ruang acara, medan selera dan surau.
“Sebagai permulaan, pembukaan hotel dilaksanakan secara berperingkat. Terengganu Inc, turut menyasarkan hotel tersebut menjadi pilihan utama bagi penempatan kakitangan profesional serta delegasi projek solar terapung hasil kerjasama antara TNB Genco dan Terengganu Inc.
“Selain itu, kita menyasarkan hotel ini menjadi pilihan pelancong di Tasik Kenyir , sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada,” katanya. – UTUSAN










