KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga boleh baharu, Helios Photovoltaic Sdn. Bhd. (Helios) menyasarkan meraih dana sebanyak 31 juta euro (kira-kira RM144 juta) menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Saham Frankfurt, Jerman pada Mei ini.
Ketua Pegawai Operasi Helios, Datuk Dr. Zuraidi Ishak berkata, pemilihan bursa Eropah tersebut berbanding Bursa Malaysia adalah selaras dengan strategi syarikat untuk memperluas jejak langkah ke pasaran Kesatuan Eropah (EU) termasuk projek masa hadapan di Jerman, Slovakia dan Bulgaria.
“Kami menyasarkan perolehan sekitar 31 juta euro daripada IPO ini. Dana tersebut akan digunakan untuk menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat, termasuk pembangunan projek solar di Eropah dan Asia seperti di Malaysia, Singapura dan Kemboja.
“Meskipun fokus kami ketika ini adalah di luar negara, Helios tidak menolak kemungkinan untuk mengambil alih syarikat tempatan dan menyertai Bursa Malaysia pada masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani prospektus IPO syarikat itu di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Helios, Datuk Seri Ibrahim Muhammad.
Mengulas mengenai projek domestik, Helios mengumumkan pelancaran Helios Solar Park, Wildlife Safari Conservation and Resort di Kelantan yang melibatkan nilai pembangunan keseluruhan (GDV) sebanyak RM5.5 bilion.
Projek integrasi pertama seumpamanya itu merangkumi kemudahan solar fotovoltaik (PV) 1,000 MWp yang disokong oleh sistem storan tenaga bateri 1,600 MWh di atas kawasan seluas 1,214 hektar.
Menurut Zuraidi, projek di Kelantan itu bertujuan untuk ‘mendekmokratasikan’ tenaga solar kepada orang awam dan korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Kuasa Maya (VPPA).
“Kami memperkenalkan konsep Lot Tenaga Bersih Sifar yang membolehkan syarikat korporat membeli tenaga solar mengikut keperluan mereka, bermula dari serendah 1 MWp tanpa perlu membina infrastruktur sendiri.
“Ini memudahkan syarikat di negeri lain, contohnya di Melaka, untuk membeli tenaga hijau yang dihasilkan di Kelantan bagi memenuhi sasaran ESG mereka memandangkan kos tanah yang semakin mahal dan sukar didapati,” jelasnya.
Projek di Kelantan itu dijangka memulakan operasi komersial antara 2028 dan 2029.
Selain infrastruktur tenaga, ia turut mengintegrasikan elemen pemuliharaan hidupan liar, khususnya perlindungan Harimau Malaya, serta pusat peranginan ekopelancongan yang dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga bersih.
Selain Kelantan, Helios juga sedang dalam perbincangan untuk membangunkan taman industri hijau di Sabah serta berusaha menyelamatkan projek LSS3 di Mentakab, Pahang yang tertangguh sebelum ini. – UTUSAN










