PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat 1.1 peratus pada Mac 2026, berbanding penurunan 3.4 peratus pada bulan sebelumnya, sekali gus mencatatkan peningkatan pertama sejak Mac 2025.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sektor perlombongan merekodkan peningkatan dua digit 26.5 peratus berbanding -8.5 peratus pada Februari disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (38.5 peratus).
“Bagi sektor utiliti, indeks bekalan air meningkat 11.3 peratus, manakala indeks bekalan elektrik dan gas naik 9.6 peratus.
“Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menyusut 5.6 peratus berbanding -8.7 peratus pada Februari, disebabkan oleh penurunan 11 peratus dalam indeks penanaman tanaman kekal.
“Sementara itu, sektor pembuatan mencatatkan penurunan perlahan 0.8 peratus berbanding -2.7 peratus pada bulan sebelum, disebabkan oleh penurunan dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-3.8 peratus) dan pembuatan produk makanan (-2.8 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, Pada asas bulan ke bulan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 4.1 peratus, berbanding penurunan 0.5 peratus pada bulan sebelumnya.
Katanya, selain daripada indeks Bekalan air yang menurun sebanyak 0.6 peratus, semua sektor lain mencatatkan peningkatan.
“Sektor perlombongan mencatatkan peningkatan ketara 32.9 peratus berbanding 0.4 peratus pada Februari, didorong oleh peningkatan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah sebanyak 43.5 peratus.
“Sektor Pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.8 peratus berbanding 1.0 peratus pada Februari, disumbangkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (4.4 peratus).
“Pada masa yang sama, sektor Pembuatan meningkat 1.7 peratus berbanding -0.8 peratus pada bulan sebelum, dipengaruhi oleh peningkatan dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (7.1 peratus) dan Pembuatan produk makanan (2.7 peratus).
“Sementara itu, indeks bekalan elektrik dan gas meningkat 4.9 peratus,” jelasnya.
Perbandingan antara beberapa ekonomi terpilih menunjukkan pelbagai trend bagi indeks harga pengeluar pada Mac 2026. IHPR Amerika Syarikat (AS) meningkat 4.0 peratus, lebih tinggi berbanding peningkatan 3.4 peratus pada bulan sebelumnya.
Jepun mencatatkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus daripada 2.1 peratus pada Februari 2026, manakala China merekodkan peningkatan 0.5 peratus, menamatkan tempoh deflasi selama 41 bulan, didorong oleh kenaikan harga komoditi global khususnya tenaga dan peningkatan permintaan domestik.
Thailand pula mencatatkan peningkatan ketara 6.0 peratus, berbanding penurunan 0.5 peratus pada bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan kos tenaga, pengangkutan dan bahan binaan. – UTUSAN










