KUALA NERUS: Perikatan Nasional (PN) terbuka kepada mana-mana pihak yang berhasrat menyertai gabungan itu namun keputusan akhir penerimaannya tertakluk kepada budi bicara Majlis Presiden PN.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, setiap penyertaan perlu melalui proses penilaian yang teliti oleh pucuk pimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
“Kita pun sudah mempunyai banyak parti Melayu dan sedang berusaha menyatukan orang Melayu dalam PN. Namun pada masa sama, kita juga mempunyai komponen bukan Melayu seperti Gerakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas desas-desus penubuhan parti baharu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dikatakan bakal memohon untuk menyertai gabungan itu dalam masa terdekat.
Razali berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan sekiranya mana-mana pihak berasakan perlu menubuhkan wadah politik baharu namun mempersoal hala tuju dan asas perjuangan Ketua Pembangkang tersebut.
“Sama ada perkara ini sudah dirancang atau sekadar niat, saya tidak pasti kerana beliau belum mempunyai parti lagi. Sepatutnya sediakan satu platform terlebih dahulu, sama ada parti atau sebaliknya. Kasihan kepada ahli-ahli yang tidak tahu ke mana hendak dibawa dengan tindakan sebegini,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan Hamzah menubuhkan parti baharu hanya kerana gagal dalam persaingan jawatan dalam parti asal dilihat sebagai langkah tidak matang dan kurang berasas.
Katanya, ia berbeza dengan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar daripada UMNO dahulu yang mempunyai asas perjuangan kukuh berkaitan isu 1MDB.
“Namun dalam situasi ini, apa sebenarnya yang ingin diperjuangkan? Jika tidak berjaya mendapatkan jawatan presiden, adakah wajar untuk menubuhkan parti baharu? Situasi ini dilihat hampir sama dengan penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah). Tidak sepatutnya perkara seperti ini berulang kerana ia tidak matang,” katanya. – UTUSAN










