KOTA BHARU: Seorang guru yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes pelajar perempuan maut dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas disini, akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian. Sabit kesalahan, pemandu boleh dikenakan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, serta lesen memandu digantung.
“Hari ini guru berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman dua hari bermula semalam,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang guru ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang maut dirempuh SUV di hadapan surau SMK Tanjong Mas.
Perintah reman terhadap wanita berusia 57 tahun yang bermula semalam itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah.
Terdahulu, kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja perempuan di sekolah berkenaan dipercayai berpunca daripada pemandu SUV yang tertekan pedal minyak lalu terbabas sebelum merempuh mangsa.
Kejadian pukul 1.50 petang itu turut menyebabkan seorang lagi pelajar perempuan mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan yang dipandu seorang wanita berada di dalam kawasan sekolah. – UTUSAN










