GGR buka cawangan di Ipoh, perluas pasaran motor EV wilayah utara - Utusan Malaysia

GGR buka cawangan di Ipoh, perluas pasaran motor EV wilayah utara

MOHAMED Izwan Abdul Karim (kanan) menyerahkan geran motosikal EV kepada pembeli pertama di GGR X EV Ipoh, Mohd Farhan Noh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kumpulan GGR (GGR Motor) melancarkan cawangan baharu GGR X EV Ipoh, sekali gus memperluaskan rangkaian pengedaran motosikal elektrik (EV) di wilayah utara.

Ketua Cawangan GGR X EV Ipoh, Mohamed Izwan Abdul Karim berkata, pembukaan cawangan itu adalah sebahagian daripada pelan strategik syarikat dalam memperluaskan capaian pasaran motosikal EV.

Menurut beliau, syarikat turut memberi fokus kepada model sulung, Lion G1 yang berada dalam pasaran sejak Jun 2025.

“Industri motosikal elektrik di negara ini masih di peringkat awal, namun mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Pasaran motosikal EV di Malaysia tidak akan berkembang secara mendadak, tetapi akan meningkat secara konsisten.

“Apa yang kita lihat hari ini adalah permulaan kepada perubahan besar dalam industri automotif negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran GGR X EV Ipoh di Medan Bercham Bistari di sini hari ini.

Mohamed Izwan berkata, model motosikal EV Lion G1 menerima sambutan hangat dengan lebih 8,000 unit  tempahan sejak diperkenalkan tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, lebih 6,000 unit telah dihantar kepada pelanggan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Permintaan tersebut didorong oleh kelebihan motosikal EV yang menawarkan penjimatan kos bahan api dan penyelenggaraan.

“Penggunaan motosikal EV mampu mengurangkan kos harian, khususnya bagi perjalanan jarak dekat di kawasan bandar,” katanya.

Tambah beliau, GGR turut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi termasuk sistem ‘battery swapping’ bagi memudahkan pengguna.

“Syarikat juga menyasarkan sekurang-kurangnya 100 pengedar rasmi di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

“GGR juga dalam perancangan menembusi pasaran antarabangsa termasuk Thailand, Filipina dan Laos dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, pemilihan Ipoh sebagai lokasi cawangan baharu adalah berdasarkan potensi pasaran yang semakin berkembang di kawasan utara serta kedudukannya yang strategik sebagai hab penghubung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN