TANAH MERAH: Pasukan Gerakan Am (PGA) menemukan empat objek disyaki bom ikan berhampiran kawasan sempadan Malaysia-Thailand berhampiran pangkalan haram Nusi di sini, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain berkata, penemuan objek tersebut diperoleh selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.
Katanya, pemeriksaan di lokasi menemukan empat objek yang disyaki bom ikan ditinggalkan di pangkal pokok sawit.
“Kawasan tersebut terletak kira-kira 15 meter daripada sempadan Malaysia-Thailand serta 300 meter dari Pos Nurut. Jarak dengan lokasi dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga pula sejauh tujuh kilometer,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi berkata, pihaknya kemudian memaklumkan penemuan objek tersebut kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan Pegawai Memerintah Rejimen Sempadan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama pasukan forensik dihantar ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan penilaian.
“Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat objek itu merupakan bom buatan sendiri (IED) yang dipercayai digunakan untuk aktiviti mengebom ikan. UPB IPK Kelantan melaksanakan proses pemusnahan dengan selamat,” ujarnya.
Beliau berkata, motif sebenar penempatan bahan letupan itu masih dalam siasatan polis. – UTUSAN










